Puan Nur Hidayah Binti Anuar, LL.B (Hons) UUM
Puan Nur Hidayah Binti Anuar, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B) (Kepujian) daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) pada tahun 2014. Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang pelatih dalam kamar (Pupillage) di Tetuan Amin-Tan & Co., Kuala Lumpur di bawah bimbingan peguam berpengalaman Dato’ Yong Pew Yew dan telah diterima masuk dan didaftar raikan sebagai seorang Peguambela & Peguamcara yang bertauliah pada 16hb Oktober 2015.
Beliau kemudiannya memulakan kerjaya sebagai Peguam bertauliah di Tetuan Tay Ibrahim & Partners di Kuala Lumpur pada bulan November 2015. Pengalaman beliau di Tetuan Tay Ibrahim & Partners telah membolehkan beliau mengendalikan pelbagai amalan dan bidang guaman terutamanya dalam bidang Conveyancing (Hartanah) dan Perbankan. Pada tahun 2018, beliau telah menyertai pasukan peguam terkemuka di firma guaman Tetuan Kamaruzaman Arif & Sofiah di Shah Alam, Selangor di bawah bimbingan Dato’ Kamaruzaman Arif dan dilantik sebagai Ketua Jabatan Conveyancing (Hartanah).
Sejak tahun 2018 sehingga tahun 2025, beliau telah menguruskan pelbagai urusan dalam bidang Conveyancing (Hartanah) yang melibatkan transaksi pemilikan hartanah bersama pelbagai klien tidak kira sektor kerajaan, badan berkanun, syarikat korporat ataupun individu. Di antara klien terkemuka yang dikendalikan oleh beliau adalah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Lembaga Zakat Selangor, Tabung Haji Properties Development Sdn. Bhd., Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), PNB Development – Seriemas Development Sdn. Berhad, Selangor Greater Klang Valley (SGKV) dan banyak lagi syarikat-syarikat yang terkenal di Negeri Selangor. Beliau juga telah mengambangkan karier beliau dengan menguruskan pelbagai dokumentasi perundangan bagi urusan korporat seperti penyediaan kertas kerja perundangan, perjanjian penyelesaian di antara syarikat-syarikat korporat, penyediaan perjanjian usahama sama, perjanjian pengurusan di antara pelbagai syarikat dan kontraktor, penyedian surat wakil kuasa dan pelbagai lagi urusan dokumentasi perundangan korporat.
Berasaskan pengalaman luas mengendalikan pelbagai transaksi hartanah dan pemilikan untuk klien terkemuka di sektor kerajaan, badan berkanun, syarikat korporat dan individu, beliau telah mengambil langkah strategik untuk menubuhkan firma guaman sendiri di bawah nama TETUAN HIDAYAH ANUAR & ASSOCIATES pada 01hb Ogos 2025 yang terletak di Ayer Keroh, Melaka. Penubuhan firma ini didorong oleh hasrat beliau untuk mengembangkan kerjaya guaman beliau di Negeri Melaka dengan menawarkan perkhidmatan guaman yang lebih fokus, teliti dan berintegriti tinggi, khususnya dalam bidang hartanah, demi memenuhi keperluan serta harapan klien.